Friday, August 05, 2011

FALSAFAH RAMADHAN


FALSAFAH RAMADHAN

SELAMAT DATANG WAHAI RAMADHAN! Bulan yang mulia penuh keampunan dan ganjaran. Di dalamnya ada lailatul qadar. Diturunkan padanya al-Quran. Disyariatkan dengannya ibadah ‘Siyam’; menahan diri dari makan, minum dan syahwat sepanjang siangnya. Bertuah lagi beruntung mereka yang memanfaatkan bulan ini untuk mencapai maghfirah. Celaka dan rugilah bagi sesiapa yang mendapat Ramadhan tetapi mensesiakannya. Itulah doa makhluk yang dicipta hanya melakukan ketaatan semata-mata; Jibril alaihis salam. Ia diaminkan pula oleh sebaik-baik makhluk pernah dicipta, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Oleh itu, mari kita berpuasa! Ya, berpuasa dalam erti kata yang sebenar. Menahan diri dari makan, syahwat dan segala yang menghanguskan pahala puasa. Menahan hati, perasaan dan pemikiran dalam erti kata mengawal semua itu dari memfokuskan perkara negatife, lucah dan tidak berfaedah. Seterusnya berpuasa anggota dari menyentuh, merenung, mendengar, melangkah dan merasa perkara yang waima ia halal di luar musim Ramadhan. Itulah dia puasa.

Siyam; Mendidik hati dan anggota meninggalkan aktiviti noda dan yang mendatangkan dosa. Apabila sudah mula meninggalkan dosa, maka dengan izin Allah jalan berbuat pahala itu akan semakin terbuka. Ketika itu, rebutlah! Kautlah! Aplikasikan segala peluang untuk mencapai sasaran yang sebenar difardhukan ibadah siyam; puasa. Allah Taala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣) البقرة

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Selain itu,pada ibadah puasa itu juga terkandung hikmah dan falsafah bagi yang memikir. Antaranya seperti:

IBADAH ITU HANYA UNTUK ALLAH TAALA

Jika kita perhatikan rukun Islam yang lima, semuanya adalah perintah melakukan perbuatan ibadah kepada Allah. Ketika mana Allah Taala berfirman,

ِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ (١١٤) هود

114. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.

Termasuk juga di situ ialah kalimah لا إله إلا الله . Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah berpesan kepada Abu Zar Al-Ghiffari,

يا معاذ ! اتقِ الله , وخالِقِ الناسَ بخُلُقٍ حسَن وإذا عَمِلْتَ السيئةَ فأَتْبِعْها حسنة قال: قلتُ: يا رسول الله! ألا إله إلا الله من الحسنات ؟ قال: هي من أكبر الحسنات .

Wahai Muaz! Bertaqwalah kepada Allah. Gaulilah orang lain dengan akhlak yang baik, dan apabila kamu melakukan dosa, segeralah ikutinya dengan kebaikan. Aku bertanya, wahai Rasulullah, adakah la ilaaha illa llah termasuk dalam amal kebaikan? Rasulullah menjawab: Ia adalah antara amal kebaikan yang paling besar.

Ibadah solat pula ibarat dari perintah Allah Taala supaya kita melakukan qiam, rukuk, sujud dan sebagainya. Ibadah zakat pula manifestasi dari arahan mengeluarkan sejumlah harta untuk Allah setelah cukup syarat-syaratnya. Ibadah haji memerintahkan kita agar mengumpulkan rezeki dan tenaga halal, berjalan mengelilingi kaabah, melontar batu dan lain-lain lagi.

Keempat-empat rukun tadi dalam bentuk perintah. Berbeza dengan ‘siyam’. Ia melarang daripada perkara yang halal, haram dan makruh; makan, jima’ dan segala yang menghapuskan pahala. Mengapa Allah tidak mensyariatkan semua ibadah itu dengan perintah sahaja? Mengapa ada juga perintah berbentuk larangan seperti larangan makan ketika berpuasa ini? Sebenarnya, itulah hikmah Siyam. Ia mengajar umat Islam agar berbuat dan tidak melakukan sesuatu ibadah itu mestilah hanya dan untuk Allah Taala semata-mata.

MAHABBATULLAH

Ibu bapa yang normal tidak akan sanggup membiarkan anak mereka kesusahan, kelaparan, dan kelelahan. Namun, malangnya masyarakat hari ini apabila golongan yang melakukan zina, melahirkan dan membuang bayi itu dilihat semakin hari semakin bertambah, Sungguh, kewarasan itu semakin hilang dalam suasana masyarakat hari ini.

Orang yang mempunyai mental dan pemikiran sihat tidak akan membiarkan orang lain mendapat kesusahan, apatah lagi jika orang itu ada hubungan kekeluargaan dengan mereka. Seorang ibu tidak akan berdiam diri apabila anaknya menangis di tengah keenakan tidur manusia kerana hendak makan, minum, susu dan sebagainya. Akan diusahakan jua. Ayahnya pun sama akan digagahkan juga. Apatah lagi melihat anaknya tidak bermaya, lesu dan letai. Itulah murninya kasih sayang manusia sesama mereka. Kayu ukur kita ialah yang lapar diberi makan, dan yang letih itu disuruh berehat.

Justeru, mengapa pula kita diperintah supaya berlapar? Berdahaga dan menyekat keinginan nafsu dalam ibadah “siyam” ? Tidakkah itu bertentangan dengan kayu ukur kita tadi; tidak murni dan tidak normal; benarkah demikian?

Atau ia sebenarnya lambang kasih sayang juga. Cinta dari Allah kepada hambanya. Jika begitu, maka kayu ukur kita tadi telah salah. Atau macam manakah solusinya? Sebenarnya kayu ukur kita tidak bersalah. Yang tak betul ialah ia digunakan untuk menyukat kasih sayang Allah Taala pula. Sedangkan namanya kayu ukur manusia. Dalam menghitung kasih sayang Allah, kita perlu mengguna pakai pembaris yang diberikan olehNya sahaja. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi asallam yang bermaksud:

“ Sesiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah, nescaya Allah akan jauhkan mukanya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.”

“Puasa adalah perisai. Sedekah akan memadamkan kesalahan seperti air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki yang bangun di pertengahan malam.”

“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya(yakni berpuasa).”

“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ia tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu walau sedikit.” Hadis ini dipopularkan oleh YB Senator Dato’ Doktor Johari Mat dengan istilah Takaful Ramadhan. Suatu projek pelaburan Rabbani yang sangat menguja dan menguntungkan semua! Cubalah!

Namun awas,

“Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.” Ingatlah juga kepada firman Allahdalam surah al-Baqarah ayat ke 185 yang bermaksud:

“ Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”

Kalau fakta dalil yang ada sukar difahami kaitannya maka cuba perhatikan pula kajian dan penemuan berikut:

1. Penurunan Berat Badan

Ini dapat membantu individu yang mengalami berat badan berlebihan atau obes untuk menurunkan berat badan mereka dengan cara yang sihat dan murah. Bagi pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi pula, ini dapat menurunkan paras tekanan darah serta kandungan gula mereka dengan lebih baik. Penurunan berat badan daripada amalan puasa Ramadan adalah berbeza dengan amalan crash diet atau cara diet untuk menurunkan berat badan lain seperti langsung tidak makan nasi (hanya minum air). Penurunan berat badan dengan berpuasa selalunya lebih stabil di mana pesakit tidak mengalami masalah kenaikan berat badan secara mendadak sekiranya seseorang berhenti puasa.

2. Mempercepat Proses Pemulihan

Ketika berpuasa, penggunaan tenaga diarahkan dari sistem penghadaman ke sistem-sistem lain seperti penyembuhan, imun atau metabolisme badan. Manakala, proses penggantian tisu yang rosak menjadi bertambah baik hasil proses pembentukan protein sintesis yang semakin berkesan yang disebabkan oleh antibodi badan yang lebih teratur. Pembentukan protein yang lebih efisien akan menghasilkan sel-sel serta tisu yang lebih sihat. Kajian turut mendapati berlaku penurunan suhu badan dan kemerosotan kadar asas metabolisme badan ketika berpuasa menjadikan badan menyimpan lebih tenaga.

3. Solat Tarawih Memetabolismekan Makanan

Cantik sekali apabila bulan puasa turut diiringi dengan sembahyang sunat tarawih pada sebelah malamnya. Ianya membantu memproses makanan yang dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga (sehingga 200 kalori). Di samping itu, ianya juga bertindak sebagai satu cara senaman yang ringkas dan baik untuk menguatkan sistem kardiovaskular (jantung dan aliran darah).

4. Mendisiplinkan Diri Agar Berhenti Merokok

Amalan puasa juga dapat melatih diri meninggalkan amalan yang kurang baik seperti mengurangkan nikotin yang berbahaya di dalam tubuh perokok. Ketika siang hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana terpaksa berpuasa manakala pada malam hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana takut akan kemudaratan kesihatan seperti penyakit kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit sekatan pernafasan.

5. Allan Cott, M.D.

Seorang pakar dari Amerika Syarikat, telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan berbagai negara, lalu menghimpunnya dalam sebuah buku Why Fast iaitu berbagai hikmah puasa, antara lain: a. To feel better physically and mentally (merasa lebih baik secara fizikal dan mental).
b. To look and feel younger (merasa lebih muda).
c. To clean out the body (membersihkan badan)
d. To lower blood pressure and cholesterol levels (menurunkan tekanan darah dan kadar lemak.
e. To get more out of sex (lebih mampu mengendalikan seks).
f. To let the body health itself (membuat badan sihat dengan sendirinya).
g. To relieve tension (mengendurkan ketegangan jiwa).
h. To sharp the senses (menajamkan fungsi sense).
i. To gain control of oneself (memperolehi kemampuan mengendalikan diri sendiri).
j. To slow the aging process (memperlambat proses penuaan).

ebook fast

Sejak zaman dulu puasa dipakai sebagai pengubatan yang terbaik seperti kata Plato bahwa puasa adalah untuk mengubati sakit fizikal dan mental. Philippus Paracelsus mengatakan bahwa “Fasting is the greatest remedy the physician within!”

Puasa sudah diakui menjadi penyembuh terhebat dalam menangani penyakit, bahkan di Amerika ada pusat puasa yang diberi nama “Fasting Center International, Inc”, Director Dennis Paulson yang berdiri sudah sejak 35 tahun yang lalu, dengan pesakit dari 220 negara. Yang mencadangkan Puasa dalam:
(1) program penurunan berat badan,
(2) mengeluarkan toxin tubuh,
(3) puasa dapat memperbaiki energy, kesehatan mental, kesehatan fisik dan yang paling terpenting meningkatkan kualiti hidup.

Sayangnya Allah kepada kita sehingga tidak cukup dengan segala rezeki dan kekuatan yang diberi kepada kita, Allah menunjukkan pula jalan kejayaan, ketaqwaan dan kesihatan. Salah satu daripada jalan itu ialah ‘Siyam’. Cinta Allah kepada hambaNya menjadikan mereka suci, bertambah baik dan elok.

Namun tidak semua akan berjaya mendapat mahabbah qudus ini. Hanya yang terpilih sahaja. Oleh itu marilah kita lipatgandakan usaha serta strategi agar yang terpilih itu ialah kita!

Rujukan:

1. Puasa dan Ramadhan, Jabatan Hal ehwal Agama Islam Negeri Kelantan

2. Kertas Kerja Hukum Semasa Berkaitan Puasa, Abu Anas al-Madani@Dr Basit Abd Rahman

3. Pidato persediaan menyambut Ramadhan:

YB Senator Dato’ Doktor Johari Mat, Ketua Eksekutif KIAS

Al-Fadhil Dr Nasr Said Abdul Maqsud, Universiti al-Azhar.

4. Laman sesawang:

http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=7162'

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/penafian/450-puasa-dari-sudut-perubatan.htmlType your summary hereType rest of the post here

[+] Baca Lagi

Wednesday, September 19, 2007

Sekatan Pengajian Kepada Mahasiswa Al-Azhar

Oleh: Abdul Hadi Awang
Timbalan Presiden PMRAM

Bahang Ramadhan semakin terasa. Kerinduan terhadapnya akan diubati dengan menjelangnya Ramadhan tak lama lagi. Di samping Ramadhan, satu lagi perkara yang istimewa juga akan turut menjelma. Suatu majlis yang setiap tahun menjadi tarikan yang hebat kepada warga Azhari di Perlembahan Nil ini. Rata-rata para Azhari akan turun membanjiri kota usang Kaherah. Maka berduyun-duyunlah manusia memenuhi kota yang sememangnya sentiasa sesak dengan penduduknya. Semuanya datang untuk menantikan majlis pengajian Tafaquh Fiddin oleh Fadhilatul Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al Makki. Seorang guru yang tidak asing lagi bagi warga Azhari di sini.

Cuma suasana tahun ini pasti berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini. Jika dahulunya pengajian diadakan di rumah-rumah negeri di sekitar Hayyu Asyir, tetapi pada tahun ini keistimewaan itu sudah tiada dek kerana sebab-sebab yang sukar untuk diungkapkan. Kenapa sukar benar untuk kita diizinkan untuk berguru, belajar dan menimba pusaka para Nabi dan Rasul terdahulu?

Tengok sajalah apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Satu persatu program yang diadakan di dataran dengan bazarnya, kejohanan futsalnya, dan yang terbaru, festival nasyid asean. Tak mengapalah dengan program-progran tersebut, tapi apabila diminta untuk mengadakan majlis pengajian, tak mendapat kebenaran. Apakah program-program tersebut lebih baik daripada majlis pengajian, yang sehinggakan majlis khusus untuk mengingati Allah tak dibenarkan, sedangkan program-progran berbentuk sukaria menjadi keutamaan?

Adakah cara berfikir golongan ini sudah terbalik? Salahkah mengadakan majlis pengajian? Atau salahnya cara manusia berfikir? Bukankah dengan bercambahnya kelas-kelas dan majlis-majlis ilmu seperti program tahunan PMRAM bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari akan mendekatkan lagi hati para pelajar untuk mencintai Allah dan RasulNya agar mereka sedar bahawa mereka punya tugas yang wajib untuk dibereskan. Tugas untuk memandu masyarakat menuju keredhaan Allah. Kenapa pengajian bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari diperpayahkan?

Justeru, saya menyeru semua warga Azhari tak terkecuali walau seorang pun, cuba renung sejenak apa yang telah saya tulis di atas. Jika benar kita seorang yang cintakan kepada majlis-majlis seperti ini dan mahukan majlis ini kembali seperti dahulu, marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah permudahkan urusan kita, kembalikan semula keistimewaan yang pernah kita kecapi sebelum daripada ini, dan Allah kembalikan kepada kita cara berfikir yang sebenarnya yang sentiasa berpandukan wahyu bukan nafsu. Sesungguhnya Allah itu Pemurah dan sentiasa mendengar doa hamba-hambanya.

Semoga kita semua dapat merasai nikmatnya majlis ilmu, lazat berada di dalamnya dan sentiasa rindukan majlis-majlis sebegini. Semoga Allah menerima amalan dan kabulkan permintaan kita pada bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Alluhumma Amin.

[+] Baca Lagi

Thursday, July 12, 2007

Tips untuk elak kejadian rogol dan menjaga maruah diri

Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali

Malang bagi masyarakat kita, sejak akhir-akhir ini, nampaknya kejadian penganiayaan terhadap golongan kanak-kanak dan wanita semakin berleluasa dalam negara.

Penguatkuasa dalam negara seolah-olahnya tidak serius dalam menjalankan tanggungjawab membanteras gejala rogol, pencabulan dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, untuk membantu diri anda, keluarga dan masyarakat, maka disenaraikan beberapa tips panduan yang berguna untuk diamalkan seperti berikut:

Terhadap Kanak-kanak

Anak-anak kecil mesti sentiasa di bawah pengawasan ibu-bapa, guru-guru atau penjaga yang dipercayai.

Kanak-kanak juga boleh dirogol oleh penjaga atau keluarga penjaga/pengasuh, oleh itu sentiasa ada rasa 'cemburu' dan berhati-hati.

Galakkan anak-anak untuk bercakap atau bercerita apa yang berlaku sepanjang peninggalan ibu bapa supaya dengan ini dia akan memaklumkan perkara-perkara yang mungkin tidak difahaminya yang berlaku ke atasnya.

Latih anak-anak untuk menjauhi orang yang tidak dikenali, kalau perlu ingatkan setiap hari iaitu semasa meninggalkan anak-anak di rumah atau Tadika/Sekolah.

Ingatkan pada anak-anak anggota tubuh badannya yang tidak patut disentuh oleh sesiapa pun kecuali oleh ibu bapa atau pengasuh semasa mandi atau masa buang air.

Bertindak awal jika telah ada tanda-tanda maruah anak-anak cuba dicerobohi.

Jangan pandang remeh tanda-tanda ini takut nanti kita menyesal.

Seboleh-bolehnya jangan benarkan anak-anak tidur di rumah orang lain kecuali sangat perlu dan keluarga tersebut dikenali sebagai keluarga yang amanah dan berhemah.

Latih anak-anak untuk menjerit minta tolong atau sebut "API-API" jika ada gangguan atau pencerobohan terhadap dirinya.

Kajian mendapati jeritan 'API" lebih diberi perhatian oleh orang ramai dari jeritan minta tolong.

Pastikan kita berdoa dan ajar anak-anak berdoa mohon keselamatan serta perlindungan Tuhan semasa melangkah keluar rumah, contoh: "Bismillahi tawakkaltu 'alAllah".

Ingatkan anak untuk tidak menerima pemberian makanan, gula-gula mahupun air dari orang yang tidak dikenali.

Larang anak keluar dari kawasan rumah, ke padang permainan, ke rumah jiran atau ke kedai tanpa pengawasan.

Keluarga terdekat juga boleh menceroboh maruah anak-anak, jadi ibu-ibu perlu maklumkan pada anak-anak juga tentang perkara tersebut.

Sentiasa berhubung dengan guru-guru, penjaga atau pengasuh tentang isu-isu keselamatan anak-anak.

Cara-cara mencegah kejadian rogol atau serangan seksual terhadap remaja

1. Jangan terima pelawaan orang yang tidak dikenali untuk tunjuk arah atau jalan, suruh orang itu minta pertolongan lelaki dewasa. Jika didesak juga, lari dan jerit minta tolong.

2. Jangan tumpang orang yang tidak dikenali sama ada kereta, motor atau basikal.

3. Jangan percaya dan ikut orang yang mengaku dihantar oleh ibu bapa untuk mengambil kamu balik dari sekolah, meskipun diberitahu ibu-bapa kemalangan dan sebagainya.

4. Jangan terima duit, gula-gula atau snek dari orang yang tidak dikenali, jiran, jaga sekolah, guru atau teman lelaki jika berseorangan sahaja dengan mereka.

5. Berhati-hati apabila dalam perjalanan pergi sekolah, kedai dsb juga bila balik rumah.

6. Jangan jadikan amalan terlalu rapat dengan jiran lelaki sama ada tua atau muda, lebih-lebih lagi pergi bermain dan tidur di rumahnya kecuali dengan pengetahuan ibu-bapa dan tidak bersunyi-sunyi.

7. Jika kamu dihalang semasa sedang berjalan, cuba elakkan orang tersebut, jika masih dihalang, lari kebelakang dan jerit sekuat hati.

8. Balik kerumah segera sama ada dari sekolah atau tugasan diluar, jangan singgah dimana-mana tanpa kebenaran dan elakkan dari terlalu banyak bermain-main.

9. Cuba pastikan bila berjalan atau keluar rumah hendaklah bersama keluarga atau teman-teman dalam kumpulan. Elakkan keluar rumah waktu malam kecuali dengan keluarga terdekat.

10. Elakkan dari bergaul bebas dengan lelaki yang tidak dikenali dan yang bukan mahram, kerana lelaki tersebut mungkin gunakan peluang itu untuk merogol kamu.

11. Cuba elakkan dari berjalan di lorong, taman atau kawasan yang sunyi. Jauhi bangunan yang tersudut.

12. Jangan pergi berubat dengan bomoh dan jangan sekali-kali tinggal seorang diri berubat dengannya. Doktor lelaki juga hanya boleh memeriksa kamu dengan kehadiran pembantu wanita/jururawat.

13. Jangan berpakaian seksi. Sekalipun kamu tidak menjadi mangsa pada masa tersebut,tetapi mungkin orang lain yang lebih lemah akan jadi mangsa rogol lelaki yang ada penyakit hati.

14. Pastikan pintu bilik berkunci dengan baik semasa kamu mandi, menyalin pakaian ataupun berehat atas katil.

15. Jangan bermain dan bergurau dengan kawan lelaki dan membiarkan mereka menyentuh badan kamu.

16. Orang lelaki termasuk bapa, abang atau saudara-mara tidak boleh menyentuh bahagian sulit kamu.

17. Patuhi syari'at Allah, buat yang disuruh, tinggal yang dilarang nescaya kamu selamat.

18. Allah berfirman yang bermaksud ".....Jangan dekati zina". Jangan bergaul bebas atau melakukan perkara yang dilarang agama yang boleh membawa kepada zina dan lebih teruk jika dirogol.

Disediakan oleh
Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat dan
Dewan Muslimat PAS Titiwangsa

[+] Baca Lagi

Sunday, July 08, 2007

Kelantan Wujud Pusat Rawatan Haemodialysis Percuma

KOTA BHARU: 6 Julai – Mana-mana pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang di negeri Kelantan akan menerima rawatan haemodialisis secara percuma apabila Keluarga Bahagia Haemodialysis memulakan operasinya.

Peringkat awal perlaksanaan dimulakan dengan pembukaan pusat rawatan tersebut yang pertama di Jalan Bayam, Kota Bharu, dua minggu selepas itu pusat yang kedua akan dibuka di Pasir Mas dan seterusnya pembukaan pusat haemodialisis akan dibuka di setiap daerah di negeri Kelantan ini.

Perasmian pagi tadi itu dilakukan oleh Ahli Exco Negeri, Dato’ Hj Husam Musa yang mewakili Menteri Besar Kelantan yang terpaksa menghadiri satu majlis lain di Jeli.
ras Menurut Pengarah Urusannya, En Shazali Shauf, selain menawarkan rawatan secara percuma beberapa perkhidmatan lain juga turt disediakan untuk para pesakit yang menerima rawatan di sini seperti kemudahan pengangkutan pergi dan balik, khidmat nasihat pakar, urut refleksologi dan juga kelas agama.

Semua ini dilakukan untuk memberikan kepuasan dan kesedaran kepada pesakit bahawa apa yang menimpa mereka bukanlah satu bala atau musibah sebaliknya ia merupakan ujian oleh Allah SWT kepada umatnya.


“Kita akan mengambil pesakit dalam jarak 10 hingga ke 30 kilometer dari pusat rawatan untuk menerima rawatan ini. Maknanya kita menyediakan pengangkutan untuk pesakit dibawa menerima rawatan dan setelah selesai, kita akan menghantar pesakit kerumah mereka semula” ujar beliau semasa sidang akhbar selepas majlis perasmian.

“Apa yang kita laksanakan melalui Keluarga Bahagia Haemodialysis dengan menyediakan pusat rawatan percuma yang pertama seumpamanya ini ialah untuk memberikan kesedaran yang menyeluruh dan berjiwa kebajikan terutamanya kepada yang lemah atau yang sakit dan kebajikan adalah di antara tiang-tiang utama Islam yang syumul.

Yang sakit memerlukan perhatian kerana kesakitan telah memberikan mereka kelemahan dan kadang-kadang tidak berdaya untuk mengurus diri mereka sendiri. Dengan itu yang sihat mempunyai peluang untuk mendapat pahala dengan memberikan bagi perkhidmatan kepada yang sakit”. Ujar Husam semasa berucap merasmikan pusat rawatan ini.

Pusat ini yang memberi perkhidmatan setiap hari kecuali hari jumaat adalah terbuka kepada sesiapa saja tanpa mengira kaum dan agama.

[+] Baca Lagi

Wednesday, June 27, 2007

Israel musnahkan 18 000 rumah Palestin sejak 1967

Israel musnahkan 18 000 rumah Palestin sejak 1967

Sebuah pertubuhan Hak Asasi Israel mendedahkan lebih 18 000 kediaman telah dimusnahkan sejak Israel menduduki Palestin 40 tahun yang lampau. Menurut pertubuhan tersebut juga, perkara pertama yang dilakukan oleh Israel (Baca penjajah) pada tahun 1967 adalah memusnahkan rumah kediaman. Pada tengah malam 11 Jun 1967, 135 keluarga yang menghuni kawasan barat al-Quds dikejutkan oleh jentera penyodok Israel yang menyerang rumah-rumah mereka. Dua buah masjid turut dirobohkan dalam kejadian itu. Peristiwa tersebut dikatakan bertujuan untuk menyediakan halaman terbuka di depan dinding Buraq yang bersambung dengan Masjid Aqsa.

Pihak pertubuhan Hak Asasi itu seterusnya menyatakan akan menghantar surat kepada pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB mendesak agar melaksanakan ketetapan Majlis Keselamatan Negara nombor 252 yang diputuskan selepas kejadian pemusnahan tersebut. Ketetapan itu adalah berupa arahan kepada pihak Israel supaya menghentikan kerja-kerja pemusnahan dan larangan daripada sebarang aktiviti yang boleh merubah kedudukan al-Quds. Bagi menjayakan kempen pembinaan semula ini, ‘kami akan berpindah dari tapak Barat al-quds menuju ke negeri berdekatan, Salwan yang turut dimusnahkan,’ tambah pihak pertubuhan terbabit.

Dari Akhbar Liwa Islami bil 1325; 28 Jamadil ula 1428 h bersamaan 14 Jun 2007 m

[+] Baca Lagi

Tuesday, June 26, 2007

Akil Hayy ditahan Jais, arak pula dibiarkan berleluasa!

Roy Rasul
Mon | Jun 25, 07 | 05:17:26 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Hrkh) - Apakah jadahnya? Juara menyediakan arak tidak ditahan, tetapi pendakwah dianiaya dan ditahan dari menyampaikan syariat Islam.

Semalam, Harakahdaily menyiarkan berita tiga anak Melayu yang menjadi juara menyediakan arak, dan agak malang pihak penguatkuasa agama membuta mata dan memekakkan telinga tanpa memgambil sebarang tindakan walaupun ia dilaporkan secara gah dalam akhbar The Star, 15 Jun 2007 yang lalu.

Hari ini, pihak Harakahdaily mendapat laporan bahawa pendakwah dan penyanyi nasyid, Akil Hayy telah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada malam 23 Jun lalu dan akan disoalsiasat oleh jabatan berkenaan esok (26 Jun 2007).

ImageBeliau yang dihubungi Harakahdaily hari ini, berkata, soal siasat tersebut dibuat atas dakwaan berceramah tanpa tauliah di bawah enakmen undang-undang Jabatan Agama Islam Selangor.

Dalam kejadian tersebut Akil Hayy ditahan oleh unit penguatkuasa Jais ketika beliau berceramah di surau Al-Ikhwan, Taman Puncak Jalil, Sri Kembangan, Serdang, Selangor.

Sementara itu, dakwa penyanyi yang bernaung di bawah Inteam records dengan kerjasama EMI, ceramah agama yang disampaikan pada malam itu bertajuk 'silaturrahim' dan tidak ada mengena isu politik.

Malah dakwanya ceramah tersebut dihadiri semua masyarakat tanpa mengira fahaman mana-mana politik.

Beliau yang merupakan penceramah tunggal di majlis berkenaan, berkata, motif ceramah tersebut adalah untuk mengerat tali siratul rahim antara satu sama lain.

Ceramah tersebut juga katanya, dilakukan di dalam surau dan tidak melebihi jam 12.00 tengah malam.

Namun katanya, belum lagi beliau berada di pentas beberapa anggota polis dan unit penguatkuasa Jais sudah berada di surau berkenaan.

Katanya lagi sebaik saja beliau selesai berceramah beliau didatangi beberapa pegawai Jais dan mereka menyatakan bahawa beliau ditahan kerana berceramah tanpa tauliah.

Selepas itu katanya, beliau terus dibawa di Balai Polis Seri Kembangan.

Bagaimanapun dakwanya, setibanya di balai berkenaan beliau tidak pun diambil keterangan oleh pihak polis sebaliknya pegawai Jais sendiri mengambil kes tersebut.

"Saya tak faham mengapa saya tidak dibawa ke pejabat Jais sebaliknya dibawa ke balai polis. Adakah pihak Jais sengaja mendera minda dan jiwa saya kerana kes itu langsung tidak dilibatkan dengan polis.

"Bahkan setelah saya bersama beberapa orang yang menemani saya berada hampir tiga jam di balai polis, tiba-tiba pegawai Jais yang bernama Mohd Rizalnuddin mengambil keterangan saya dan memberi jaminan agar saya untuk hadir ke pejabat Jais di Shah Alam esok," katanya yang pertama kali ditahan sejak terlibat dengan dunia dakwah dan artis.

Katanya, walaupun beliau sedar majlis tersebut dipantau pihak berkuasa beliau tetap menyampaikan dakwahnya bagi menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.

"Antara intipati dakwah saya ialah menyuruh hadirin menutup aurat, para remaja tidak mendekati gejala dadah, tidak terlibat dengan gejala sosial dan jenayah.

"Kerana itu saya bersyukur kerana kes saya ini bukan kerana terlibat dengan jenayah sebalik saya ditahan kerana menegak agama Allah," katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya beliau meminta semua jemaah Islam memohon doa agar Allah SWT memberi petunjuk kepada mereka menzalimi orang yang menegakkan agama Allah. - mks.


[+] Baca Lagi

Monday, June 25, 2007

Dari akhbar Mesir

Tiga sekolah Islam Holland ditutup

Timbalan Menteri Pendidikan Holland, Sharon Dexma, telah mengumumkan keputusan menutup tiga buah sekolah Islam (bagi pengajian asas) di Amsterdan. Dalam ucapan beliau kepada pihak parlimen menyatakan bantuan kewangan dari pihak kerajaan kepada ketiga-tiga buah sekolah tersebut akan dihentikan bermula Ogos depan. Manakala para pelajar yang terlibat pula mestilah mencari sekolah yang baru. Tiga buah sekolah tersebut ialah; Sekolah al-Faruq di bandar Ziebergh, Sekolah at-Taqwa yang terletak di selatan bandar ibu kota, dan Sekolah Ibrahim al-Khalil di sebelah Timur bandar Amsterdan.

Dexma memberitahu penutupan tersebut adalah kerana sekolah-sekolah berkenaan tidak mempunyai pentadbiran yang baik sejak dari tahun lepas bermula dengan kelemahan di sudut kewangan. Selain itu mutu pencapaian yang rendah sebagaimana laporan dari Kementerian Pendidikan turut menyumbang kepada perkara ini. Seterusnya sekolah-sekolah berkenaan dikendalikan oleh individu-individu yang bersifat sementara tanpa membentuk sebuah pengurusan yang baru dan tetap.

Penutupan ini merupakan kali pertama berlaku dengan arahan rasmi kerajaan. Dalam masa yang sama pihak Penyelia Kementerian Pendidikan turut memberi amaran kepada 21 buah sekolah Islam yang lain pada awal tahun ini akan mengambil tindakan yang sama dengan dakwaan mutu pencapaian yang rendah, kepincangan pentadbiran dan tidak membantu mengintegrasi orang Muslim dengan masyarakat Holland.

Dari akhbar Liwa Islami 6 Jamadil akhir 1428 bersamaan 21 Jun 2007 Khamis

[+] Baca Lagi